Cuba Jaya

Sunday, April 22, 2018

 

MENIMBA IKAN. Para petani pastinya sudah biasa dengan aktiviti menimba ikan. Tidak pasti pula saya apakah yang dipanggil oleh negeri lain. Tetapi saya yang berasal dari Perak memanggilnya "Menimba Ikan". Kedah juga sama rasanya panggilannya. Aktiviti menimba ikan ini dilakukan selepas musim menuai dan di mana air diseluruh bendang atau sawah padi telah kering. Sewaktu kecil dulu saya dapat merasakan beberapa kali aktiviti menimba ikan ini. Sewaktu itu, kolam yang berada di kawasan bendang atau sawah akan ditimba airnya secara manual sehinggalah kolam tersebut hampir kering atau pun hanya tinggal sedikit air yang telah menjadi selut bercampur aduk dengan tanah sawah. Setelah di timba air tersebut, maka ikan-ikan terutamanya ikan haruan, sepat, puyu dan keli kurang kawasan untuk berenang atau sukar untuk berenang kerana keadaan  yang beselut. Maka, seluruh keluarga akan turun ke dalam kolam tersebut dan menangkap atau mengutip ikan-ikan tersebut dengan tangan atau pun menggunakan jaring. Hasil tangkapan tersebut amatlah banyak sehinggakan tidak mampu untuk menyiangnya ikan-ikan tersebut. Makan ikan-ikan tersebut akan di letakkan di dalam tempayan yang berisi air dan hasil ikan tersebut boleh di ambil bila-bila masa sahaja yang diperlukan. Atau pun jua, sebahagian dari ikan tersebut akan di buat pekasam. 

Pada kali ini, saya berkesempatan dan berpeluang memberikan pengalaman menimba tersebut kepada anak ketiga saya iaitu Saqif. Beliau sendiri juga amat teruja untuk bersama melakukan aktiviti tersebut. Tidak sempat-sempat untuk beliau turun ke dalam kolam tersebut yang dipunyai oleh keluarga rakan saya. Cuma kali ini dilihat, kolam tersebut tidak dikeringkan secara manual tetapi menggunakan pam air untuk mengurangkan air di dalam kolam tersebut. Lebih mudah sedikit dan lebih cepat. Kalau dulu, aktiviti ini dilakukan seawal jam 7 pagi kerana proses mengeringkan secara manual akan mengambil masa yang agak lama. Saya cuba untuk memberikan pengalaman ini kepada anak saya kerana saya sendiri dulu pernah merasainya. Walaupun kanak-kanak zaman sekarang antibody nya agak lemah sefahaman saya berbanding dengan kanak-kanak duhulu, termasuk anak saya sendiri. Kena hujan sedikit atau panas sedikit boleh menyebabkan demam atau selsema. Tapi, saya cuba sebaik mungkin memberikan pengalaman ini kepada anak saya dengan pemantauan saya sendiri. Di harap pengalaman ini memberi sedikit sebanyak erti kehidupan dan juga sedikit ilmu yang manfaat kepada beliau.